Selasa, 1 Mei 2012




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh6nxDH0aUez7FN0DrZJ5p7ztfi7Lcc5hDrESQMD8dLplOK_yIbvI06aD2WkSaDH3q0ihGvosoJSwqMhhDAaJb5b1Rsln6KauhUmUSl2iYRFKxaruQncg4PTZhLp6wQkeBBdTQ5rWfo1XE/s320/FAKTA+KARANGAN+2011.jpg






Karangan PMR 2012 - Teknik Belajar yang Betul?

Kejayaan pelajar dalam peperiksaan memerlukan usaha yang gigih dan teknik belajar yang betul.

Nyatakan teknik belajar yang betul.

Kejayaan pelajar dalam peperiksaan sudah menjadi sesuatu yang mesti dalam diri setiap pelajar. Cuma masih banyak pelajar yang gagal untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran mereka. Oleh itu, apakah kaedah pembelajaran yang harus dimiliki oleh pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan mereka?

Sudah pasti aspek penting melibatkan penumpuan penuh mereka dalam proses pembelajaran di kelas itu. Semua penerangan guru amat penting dan kemampuan untuk memberikan perhatian memastikan semua informasi penting difahami oleh pelajar. Jelaslah, pelajar harus memberikan tumpuan seratus peratus ketika berada di dalam kelas.

Kedua, pelajar hendaklah menyiapkan semua tugasan yang diberikan oleh guru mereka dengan baik. Semua tugasan ini diberikan dengan harapan pelajar akan lebih memahami topik itu sebaik sahaja menyudahkan kerja sekolah tersebut. Sesungguhnya, pelajar yang berjaya ialah pelajar yang selalu menghabiskan tugasan sekolah mereka dengan sebaik mungkin.

Malah, pelajar harus memiliki satu jadual belajar yang lengkap dan sistematik. Jadual pembelajaran yang baik menjadikan semua subjek di beri perhatian yang setara oleh pelajar pula. Jadi, tindakan membuat jadual belajar dan mematuhinya menjamin kejayaan cemerlang pelajar dalam peperiksaan pula.

Kewujudan kumpulan belajar menjadikan tugas untuk menelaah begitu mudah pula. Setiap ahli kumpulan akan menerangkan topik atau bahagian yang telah ditugaskan kepada mereka itu untuk dikongsi bersama-sama rakan pelajar yang lain. Sesungguhnya, kumpulan belajar memberikan pelajar satu penjimatan masa untuk membaca banyak topik dalam satu masa yang suntuk.

Kesimpulannya, kejayaan pelajar banyak bergantung dengan cara teknik belajar yang betul. Kemampuan pelajar untuk melakukan semua teknik ini pasti membuahkan hasil dalam kehidupan persekolahan mereka kelak. Bak kata orang tua-tua, 'usaha itu tangga kejayaan' yang membuktikan setiap usaha pelajar pasti membawakan kejayaan yang diadam-idamkan oleh mereka semua.
Posted by Noor Azman Mahat at 11:47 PM